Keputusan kemasukan IPTA diketahui esok

KUALA LUMPUR, 9 Zulkaedah 1438H, Rabu – Lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/matrikulasi/asasi (ijazah pertama) sesi akademik 2017/2018 yang membuat permohonan ke universiti awam akan menerima keputusan pada pukul 12 tengah hari Khamis ini.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pendidikan Tinggi berkata, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh universiti berkaitan kepada calon yang berjaya mulai Jumaat ini.

Pengesahan menerima tawaran perlu dikemukakan oleh calon dalam tempoh 10 hari atau sebelum 14 Ogos ini.

“Lepasan STPM, matrikulasi dan asasi boleh menyemak keputusan permohonan mereka di beberapa saluran laman web rasmi kementerian, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) esok. Mereka juga boleh menghubungi talian khas di 03-88708200.

“Semakan juga boleh dibuat dengan menghantar mesej khidmat pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan SMS ke 15888.

“Surat pengesahan setuju menerima tawaran dan surat tawaran boleh dicetak melalui laman rasmi universiti masing-masing, ” kata kementerian itu.

Sesi pendaftaran pelajar baharu akan bermula 26 Ogos hingga 6 September ini mengikut universiti masing-masing.

Manakala bagi calon yang tidak menerima sebarang tawaran, mereka boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui http://upu.mohe.gov.my yang akan dibuka dalam tempoh lima hari bermula pukul 12 tengah hari Khamis ini sehingga 11.59 malam Isnin ini.

“Keputusan permohonan rayuan akan diumumkan dalam dua fasa iaitu 22 Ogos dan 12 September ini,” kata kementerian itu.

SUMBER: http://www.ismaweb.net/2017/08/keputusan-kemasukan-ipta-diketahui-esok/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *