Pengarah Operasi Bimbingan 1438 Hijrah, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, pelaksanaan tersebut berdasarkan kepada permohonan rakyat Malaysia yang telah mewakilkannya kepada Tabung Haji bagi menyempurnakan ibadah itu.

“Sejak permohonan itu dibuka sehari di tanah air tempoh hari, kita telah menerima lebih daripada 5,000 permohonan daripada rakyat Malaysia. Daripada jumlah itu, sehingga kini kita telah menyerahkan pelaksana badal kepada pembadal seramai 3,700 orang,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Tabung Haji Hotel Abraj Janadriyah, di sini hari ini.

Badal haji adalah ibadah yang mewakilkan kepada waris atau orang lain bagi melaksanakan ibadah haji ke atas dirinya disebabkan uzur seperti sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua ataupun telah meninggal dunia, sedangkan dia berkemampuan tetapi tidak sempat menunaikan ibadah tersebut ketika masih hidup.

Tengku Azizz berkata, permohonan untuk melaksanakan badal haji ini hendaklah melalui beberapa temuduga bagi memastikan mereka memahami hukum haji berkenaan.

Beliau juga menasihatkan umat Islam di Malaysia supaya melantik pembadal yang betul-betul layak bagi melaksanakan tugas itu atau berurusan terus dengan Tabung Haji. – UTUSAN ONLINE